Rabu, 7 September 2011

CERPEN.

PAK MUSTAR DAN KISAH TENTANG DARAH.


Pak Mustar masih menunggu. Baru saja sepuluh minit lebih begitu tapi terasa bagai berjam-jam lamanya. Yang ditunggu tidak kunjung datang. Akhirnya seksaan batin yang bertandang. Benarlah penantian itu satu penyiksaan.

Selalunya kerbau-kerbau kesayangannya itu sentiasa bersama di kalangan kawanan yang lain. Dan kawanan kerbau itu selalunya ada di sekitar kawasan ini pada waktu yang masih pagi begini. Tapi nampaknya keadaan pagi ini tidak begitu. bermakna dia harus menunggu lagi untuk beberapa minit mendatang ini.

Gerimis mula turun. Pak Mustar tidak menghadapi masalah menghadapinya. Kalau setakat gerimis bukanlah satu ancaman besar buatnya. Pohon rendang tempatnya berteduh sekarang ini mampu mengecualikannya daripada basah kuyup melainkan hujan bertukar menjadi lebat. Itu nanti mungkin boleh dianggap sebagai bencana diri yang patut dirisaukan. Justeru kerana situasi sekarang masih di bawah kawalan maka sedikit pun tidak kelihatan tanda-tanda gangguan kebimbangan menziarah perasaannya. Pak Mustar kelihatan tenang dan selamba.

Hampir dua puluh minit lebih berlalu. Kawanan kerbau yang ditunggu-tunggu tidak muncul juga. Jika bukan kerana gerimis memang saat ini juga Pak Mustar mahu angkat kaki hendak balik ke rumah. Tetapi masalahnya gerimis yang sedang menderai ini membuatnya berfikir berulangkali. Tentu basah kuyup juga dibuatnya jika keputusan meredah gerimis dibuat sesuka hati sekarang ini. Kalau basah kuyup saja tidak mengapa tetapi kalau demam dibuatnya bukankah itu menempah bahana namanya.Tentu buruk padahnya. Begitu Pak Mustar membuat pertimbangan dan mengukur baik dan buruknya tindakan yang bakal dilakukan selepas ini.

Fikir punya fikir akhirnya Pak Mustar buat keputusan. Dia memilih jalan pulang ke rumah. Dalam keadaan hujan begini duduk di rumah tentu lebih baik berbanding berada di tempat sekarang ini. Kerana tugas sekarang ini adalah pilihan dan bukannya tindakan yang terpaksa dilakukan. Esok atau lusa andai nyawa masih ada, pasti boleh datang ke sini walaupun sebenarnya dia rindu benar pada kerbau-kerbaunya itu.Demikian fikiran dan pertimbangan diri Pak Mustar.

Dalam derai gerimis yang demikian itu, Pak Mustar menyusun langkah pulang. Dia bakal menyusuri jalan ke rumahnya untuk tempoh sekurang-kurangnya melebihi tiga puluh minit. Titis-titis gerimis tetap terasakan menyiram tubuhnya walaupun titisan—titisan itu masih kecil namun bila badan terdedah agak lama kesan basahnya tetap ada. Dan kesan basah itu akan mengaliri mana-mana sahaja bahagian yang tidak terlindung. Bila lelehan gerimis itu merenjis ke muka ia perlu disisih bagi memastikan lapisan kulit di bahagian muka itu lebih selesa dan pandangan mata tidak terganggu. Itulah yang dilakukan Pak Mustar sekarang.Tetapi ketika tangan kanannya menyapu air yang mengaliri mukanya dia terperanjat bukan sedikit sewaktu tapak tangannya itu terimbas oleh pandangan matanya.

“Masyaallah, apa pula ini?”. pertanyaan itu tercetus dengan sendirinya tanpa ditujukan kepada sesiapa. Tetapi dengan cetusan suara garaunya yang agak keras sedikit seolah-olah membayangkan ada seseorang lagi yang sedang berdiri di hadapannya yang menerima pertanyaan itu.

Pak Mustar mengamati lelehan air berwarna merah di tapak tangan kanannya itu. Meskipun kelihatan cair tetapi ia segera mengundang tanggapan yang menggerunkan perasaan.

“Mengapa pula ada darah?”. Terpacul lagi soalan dari mulutnya dengan suara yang tetap garau. Pak Mustar mati langkah di saat itu. Ia tindakan yang tidak sengaja. Satu refleksi dari satu situasi. Situasi kritikal.Dan dia menyapukan sekali lagi tangan kanannya ke muka. Kemudian menelitinya semula. Fikiran bawah sedarnya memutuskan cecair itu adalah darah. Dan keputusan itu memang menderaukan darah.

Persoalannya mengapa ada darah. Mengapa pula tanpa sakit tanpa luka tiba-tiba saja muncul darah. Dari mana darah itu mengalir, dari muka atau dari kepala.Kalau bukan dari kepala dan muka mungkinkah darah itu turun dari langit di bawa oleh gerimis. Sesungguhnya soalan yang ditimbulkannya sendiri itu amat memeningkan untuk dijawab.Berkerutlah kening pak Mustar kerana didesak oleh bebanan fikiran dan perasaan.

Pantas ingatannya terbang jauh. Terbang kembali ke tanah suci yang dijejakinya semasa musim haji yang baru saja berlalu. Ingatan itu memeta semula peristiwa yang menimpanya semasa di sana. Sesungguhnya Pak Mustar mengakui dan menginsafi satu peristiwa aneh yang dilaluinya semasa di tanah suci itu adalah satu peringatan dan hukuman Allah terhadap dirinya. Dan dia sudahpun bertaubat dan berjanji kepada dirinya tidak akan mengulangi segala perbuatan itu.Segala lakaran peristiwa itu masih baru dalam kotak ingatannya kerana dia sendiri baharu sahaja seminggu kembali ke kampung halamannya dengan gelaran haji. Haji Mustar. Tetapi pagi ini darah yang mengalir di muka tanpa punca itu menjadi satu misteri yang menuntut penjelasan. Selagi tanpa penjelasan ia adalah satu igauan ngeri.

“Apakah hukuman tuhan kepadaku masih belum selesai di tanah suci, sehingga hukuman itu mengejarku sampai ke kampung?” Begitu soalan nakal meluncur dari mulutnya. Tapi sepantas itu juga Pak Mustar memarahi dirinya sendiri dengan menyatakan dia tidak patut mempersoalkan hukuman Allah. Hukuman Allah tidak mengira masa dan tempat. Jika Dia berkehendakkan begitu, begitulah yang berlaku. Keterpaculan soalan celupar itu dari mulutnya bukanlah kerana ketidakakurannya terhadap ketentuan Allah tetapi berlakunya itu adalah kerana ketakutannya terhadap hukuman itu sendiri.

Namun hukuman yang sedang dilaluinya saat ini menimbulkan pertanyaan demi pertanyaan yang melemahkan minda. Jika benar ini hukuman tuhan kepadanya maka apakah kaitan darah ini dengan perbuatan masa lampaunya. Dan saat itu pertanyaan itu bertubi-tubi memijak kotak fikirnya. Akhirnya dia jadi lemah dan ketakutan. Dia terduduk di situ,di atas tanah yang berlumpur. Dia jadi putus asa. Fikirannya lemah mencari penjelasan. Tekanan perasaan itu membuatnya hilang kawalan. Keegoan jiwa lelakinya tewas. Akhirnya Pak Mustar menangis. Misteri darah di muka tiada jawapan. Dia menangis kerana asakan ketakutan yang menggila di dada. Iringan esakan dan sendu yang selayaknya mengiringi tangisnya persis kanak-kanak yang kehilangan barang mainan yang berharga. Dan tangisannya disaksikan gerimis yang masih belum mahu teduh itu.

Gawat. Tapi kegawatan yang belum mencecah seratus persen itu masih berupaya membuka ruang di hati Pak Mustar untuk memanjatkan doa kepada yang Esa. Pak Mustar pun menadah tangannya memohon agar diberikan petunjuk semoga dirinya mendapat kekuatan serta dapat memahami hikmah dari apa yang terjadi dalam peristiwa misteri darah di mukanya pagi ini.

Begitu esakan dan sendunya reda sedikit, ingatannya secara samar meluncuri masa lalu. Dan dia membenarkan ingatan itu mengundurkan masa puluhan tahun lalu semasa mudanya.

“Aku tidak mahu cari gaduh dengan kau Tapa. Aku Cuma mahu kau jangan ganggu Senah. Senah itu tunang aku!”. Suara jejaka bernama Mustar itu kedengaran amat serius.

“Kalau aku kata tidak apa kau nak buat..?” Tapa menyerlahkan keangkuhannya.

“Jangan kau fikir aku takut walaupun kau anak ketua kampung”. Balas Mustar.

“Aaahhh...,Anak sungai lagikan berubah, inikan pula baru bertunang..!” Tapa ketawa berdekah-dekah dengan gaya Sharif Dol penjahat filem Melayu yang menjadi idola para samseng kampung pada ketika itu. Dan dekahan ketawa Tapa itu disusuli juga ketawa yang keluar dari mulut kawan-kawannya. Situasi itu amat mencabar kelelakian Mustar namun dia berusaha untuk tunduk kepada kesabaran yang ada. Tetapi kesabaran itu hilang apabila situasi berlaku di luar kawalan. Anak muda berdarah panas.Dan itulah yang terjadi. Satu tumbukan sulung tangan kanan terpaksa dilepaskan sebaik Tapa melangkah ke depan mengasaknya. Tumbukan itu mengenai ke dahi Tapa. Sepantas itu memercik darah merah yang terbit dari luka di dahi itu. Tapa tersungkur ke tanah. Dia dipapah oleh kawan-kawannya balik rumah. Itulah hari yang menyaksikan pertumpahan darah kerana seorang perempuan. Tetapi Mustar tetap bangga kepada dirinya. Biar apapun tanggapan orang kampong kepadanya, dia tetap bangga kerana berjaya mempertahankan cinta tulusnya pada Senah. Cinta dan ketentuan jodoh akhirnya membawa kejayaan kepadanya untuk memiliki Senah sebagai suri hidupnya.

Luncuran ingatan ke masa lalu itu tiba-tiba terhenti sebaik Pak Mustar terasa sesuatu yang gatal di kepalanya. Tetapi sebelum tangannya bertindak menggaru ke bahagian yang gatal itu dia pasti insiden pergaduhan dengan Tapa sewaktu muda itu mempunyai kaitan dengan peristiwa misteri darah di mukanya yang terjadi pagi ini. Dia pasrah saja jika itulah hukuman yang harus dia terima. Sebagai hamba dia sentiasa redha. Pak Mustar berjaya juga menggaru bahagian yang gatal itu. Tetapi tidak tuntas sepenuhnya.Oleh kerana sebahagian besar kepalanya itu diliputi kopiah maka terasakan kepuasan menggaru itu belum mencapai tahap yang dimahukan. Maka sepantas itu juga tangannya menanggalkan kopiah yang dibeli di Mekah itu yang dianggapnya mengganggu kepuasan menggaru untuk melenyapkan rasa gatal di kepala itu. Tetapi ketika tangannya yang memegang kopiah yang diturunkan dari kepala itu terimbas oleh anak matanya satu lagi kejutan menyentap jantungnya. Menderau sekali lagi darah Pak Mustar.

“Ya Allah”. Hanya kalimah itu yang mampu terucap. Diamatinya kopiah berwarna putih yang bersulamkan benang-benang berwarna merah. Kerongkongnya terasa bagai disumbat duri tapi kemudiannya terasa bagai termuntah guli. Kemudian pantas rasa di kerongkong itu lega. Saat itu baru terasa diri berpijak di bumi nyata. Baru terasa fikiran kembali waras. Terasa hidup menjadi manusia semula.Demikian adanya, akhirnya terjawablah persoalan yang tadinya mengasak perasaannya itu. Dan dia merasakan benar-benar dipermainkan oleh situasi yang di luar kawalan dan membulinya tanpa perikemanusiaan. Tapi semua itu berlalu dengan pantas. Yang didepaninya sekarang hanyalah satu penjelasan. Dan penjelasan itu ada di depannya.Pak Mustar tanpa prejudis lagi merumuskan benang warna merah itulah yang menghasilkan cecair merah bagaikan darah apabila warnanya luntur tersiram titisan hujan yang membasahi kopiah ketika dipakai di atas kepalanya. Demikian fikirnya mengesahkan hal itu, Pak Mustar senyum-senyum malu pada dirinya sendiri sesudah menangis semahu-mahunya bagai anak kecil yang kehilangan barang mainan sebentar tadi. Senyum-senyum malu itu masih terkial-kial bersembunyi di wajahnya disusuli gelagatnya yang kelihatan tersipu-sipu seolah-olah ramai orang sedang memerhatinya di situ. Hanya sesudah semuanya terkawal kembali, Pak Mustar bangun, dia mula mengatur langkah pulang di celah gerimis yang semakin deras. Hanya dia sendiri yang tahu apa yang ada di hatinya saat itu.- EHB

Pengikut

Mengenai Saya

Pages

Powered By Blogger